INFONET


INFO  1


Remaja pada umumnya merujuk kepada golongan manusia yang berumur 12-21 tahun atau 13 hingga 25 tahun. Perkataan 'remaja' berasal daripada perkataan Latin bermakna menuju ke arah kematangan. golongan ini sentiasa mempunyai perasaan ingin mencuba dan sedang menuju ke tahap untuk menjadi dewasa. Dari sudut perkembangan manusia, remaja merujuk kepada satu peringkat perkembangan manusia, iaitu peringkat transisi antara peringkat kanak-kanak dan peringkat dewasa. Semasa seseorang itu mengalami zaman remaja dia akan mengalami pelbagai perubahan yang drastik, termasuklah perubahan jasmani, sosial, emosi, dan bahasa. 


INFO  2


PERKEMBANGAN DAN MASALAH KOGNITIF REMAJA

Apabila memasuki lingkungan umur sebelas tahun, piaget menyatakan perkembangan kognitif manusia masuk tahap yang akhir, iaitu operasi formal. Kanak-kanak yang memasuki tahap ini berupaya berfikir dengan logik serta memahami konsep-konsep yang abstrak.

Tahap kognitif ini membolehkan para remaja berfikir tentang fikiran itu sendiri, mempelajari tatabahasa yang kompleks,konsep matematik seperti algebra dan mengendalikan tugas mental dengan menggunakan konsep serta fikiran yang kompleks. Satu lagi perubahan kognitif remaja yang agak ketara ialah pemikiran egosentrisme remaja ( adolescence egocentrism) yang disarankan oleh Elkind,(1967). Remaja sering mengubahsuaikan persepsi tentang kebenaran alam.

Mereka sering merasai yang perhatian umum sentiasa tertumpu kepada diri,tingkahlaku, perbuatan dan sifat mereka. Elkind mengatakan bahawa para remaja sering mengada-adakan bayangan sekelompok manusia yang akan mengkritik segala tingkah lakunya sedangkan ini hanyalah bayangan pesepsi mereka yang dikuasai oleh egosentrisme remaja.




INFO  3


Janganlah hendaknya kecintaan anda terhadap sesuatu itu membuatkan anda menjadi lupa dan kebencian anda terhadap sesuatu itu membuatkan anda menjadi hancur.

“Umar Al-Khatab”

Orang yang berilmu itu menyedari bahawa:
  •  Timbulnya keinsafan dari kemahuan
  •  Timbulnya kemahuan dari keinginan
  •  Timbulnya keinginan dari kepercayaan
  •  Timbulnya kemajuan dari perubahan
  •  Timbulnya kepandaian dari kerajinan
  •  Timbulnya kesihatan dari kebersihan
  •  Timbulnya cinta dari mata
  •  Timbulnya dengki dari iri hati
  •  Timbulnya kekuatan dari persatuan


Mengata diri anda lemah sebelum benar-benar terbukti anda lemah adalah kelemahan anda yang paling lemah.

Tiap sesuatu itu ada penyakitnya:-
  • Penyakit bicara adalah bohong
  • Penyakit ilmu adalah lupa
  • Penyakit ibadah adalah riak
  • Penyakit budi pekerti adalah memuji diri
  • Penyakit berani adalah takut
  • Penyakit pemurah adalah menyebut pemberian
  • Penyakit cantik adalah sombong
  • Penyakit bangsawan adalah membangga diri
  • Penyakit malu adalah lemah
  • Penyakit mulia adalah kedekut
  • Penyakit agama adalah hawa nafsu


INFO  4


KEHIDUPAN remaja hari ini penuh dengan pelbagai  permasalahan sosial yang bukan sahaja merunsingkan ibu bapa tetapi juga pemimpin negara. Banyak cara dan kaedah telah digunakan untuk menarik mereka ini ke arah kebaikan untuk menjadi insan berguna namun jalan yang salah dan hitam juga mereka pilih. Kes rogol, ragut, penyalahgunaan dadah, berpeleseran di pusat-pusat beli belah, lumba motor haram dan terbaru kes Black Metal yang mana semua ini semakin berleluasa dari sehari ke sehari. Mereka seolah suka membuat sesuatu yang negatif yang mendatangkan kemudharatan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain. Apa punca dan kenapa? Untuk itu SIASAH melalui wartawannya Kalsum Hj Ahmad telah menemui Saudara Mohd Ridhuan Tee Abdullah, seorang pendakwah bebas merangkap Pengarah Eurobest Holding Sdn Bhd. Banyak huraian dan penjelasan yang diungkaikan berkaitan dengan permasalahan remaja hari ini. Ikuti penjelasannya di bawah.

SIASAH: Pada pandangan Saudara Mohd Ridhuan mengapa dan kenapa para remaja kita mudah terjebak dengan perkara-perkara negatif yang bukan sahaja boleh merosakkan diri mereka tetapi juga agama, bangsa dan negara? Ridhuan Tee- Melalui kajian yang dibuat, apa yang berlaku ke atas remaja-remaja kita hari ini kerana mereka tidak memiliki hala tuju diri atau matlamat hidup. Mereka tercari-cari identiti yang mana satu hala yang hendak diikuti.Mereka tiada matlamat yang hendak dicapai. Nilai-nilai pegangan asas iaitu agama (kalau ianya Melayu- Islam) sudah tidak lagi sebati dalam hidup mereka. Mereka sedang mencari sesuatu. Dalam pencarian itu, yang tidak baik itulah yang menjadi pilihan mereka. Dengan sebab itu kita lihat bermacam-macam perkara yang merosakkan berlaku. Ada yang terjebak dengan Black Metal, seks bebas, penyalahgunaan dadah, rogol dan sebagainya.

Apa yang menyedihkan kebanyakannya berlaku kepada mereka dalam usia remaja yang gagal peperiksaan (SPM). Gagal SPM tidak beerti gagal dalam hidup. Masih banyak peluang yang menanti. Pokoknya, jangan mudah putus asa.  Bagi pelajar yang masih bersekolah, menurut kajian yang dibuat juga 80% daripada pelajar-pelajar di sekolah menengah tidak mendirikan solat.Kalaulah kajian ini benar, sudah tentu, harapan pemimpin kita untukmelihat Wawasan 2020 tercapai masih samar. Oleh itu sebelum keadaan lebih teruk lagi berlaku kerajaan kena pantau atau mengambil tindakan yang bersesuaian dengan permasalahan ini. Kalau tidak negara kita nanti akan menghadapi krisis identiti. Ini kerana sesebuah Negara dikenali kerana identitinya.

Berbanding negara-negara lain contohnya negara Vietnam, Thailand, Filipina, Jepun masing-masing tebal dan bangga dengan budaya dan cara hidup mereka. Sepatutnya remaja Melayu mesti bangga dan berbesar hati dengan identiti orang Melayu. Tetapi itu tidak kelihatan. Mereka dengan mudah mengambil pengaruh dari barat sedangkan mereka tahu pengaruh dari Barat itu tidak elok tetapi 'kita' sengaja membiarkan perkara ini berlaku. Cuba lihat televisyen kebanyakan programnya berbentuk hiburan (kebaratan), filem-filem barat, sudahlah ekonomi dikuasai oleh barat. Saya sedih orang kita khususnya remaja terlalu mudah menerima pengaruh dari luar. Mana jati diri sebagai remaja Melayu, Cina atau India? Saya juga berasa pelik mengapa pengaruh dari luar ini diterima begitu pantas, cepat dan diterima secara bulat-bulat. Apakah kita kekurangan budaya dan jati diri sehingga terpakso cedok orang lain punya.

Misalnya muzik. Boleh dikatakan 98% remaja dan anak muda kita menyukai dan meminati muzik rentak barat. Apa istimewanya RAP, Heavy Metal, Hip Hop, RnB, kalau dibandingkan dengan lagu asli seperti Inang, Zapin, Joget, Keroncong yang sudah menjadi identiti kita. Ia bukan sahaja lembut tetapi begitu syahdu dan mengasyikkan bila didengar. Kenapa lagu-lagu seperti itu tidak mahu ditonjolkan. Kenapa kita perlu cedok budaya orang lain sedangkan kita ada budaya akita sendiri. Sepatutnya bila pelancong-pelancong datang,  kita kena tunjukkan budaya dan identiti kita sendiri yang penuh kesopanan, nilai-nilai kelembutan. Di situlah kekuatan kita seperti apa yang dilakukan oleh negara China, Jepun, Thailand, Vietnam dan sebagainya. Mereka tetap mengutamakan ciri-ciri seni budaya yang diguna pakai sejak zaman dulu. Bukan berbangga dengan budaya dan cara hidup barat.

Contoh, Kerajaan Melaka 600 tahun, sebuah kerajaan yang hebat, terkenal di seluruh dunia. Kerajaan Melaka terkenal kerana Bangkit kerana pengaruh Islam yang menunjangi kekuatan budayanya. Dunia tidak kenal kerajaan Melaka sebelum kerajaan Melaka menerima Islam. Tetapi bilamana kerajaan Melaka menerima Islam, secara otomatik, kerajaan Melaka terangkat. Inilah kekuatan Islam. Tetapi hari ini kita sedih kerana generasi kita lupa kepada sejarah. Kita ambil budaya dari luar. Inilah kegagalan kita dalam memahami sejarah peradaban bangsa di dunia. Di Negara lain, sejarah tetap diingat sampai bila-bila dan cuba diulangi kegemilangannya. Untuk menuju ke arah itu kita perlu ada persediaan yang rapi terutama mengenai kekuatan jati diri yang acuannya mestilah mengikut bangsa kita sendiri.

Untuk itu kita perlu ada lima asas penting yang menjadi tonggak dalam membentuk jati diri.  Pertama -Pegangan iaitu agama.  Agama hendaklah menjadi pegangan dan asas dalam kehidupan kerana agamalah yang memartabatkan kehidupan dan tamadun manusia. Tanpa agama, manusia akan terumbang ambing tanpa haluan dituju. Justeru, dengan asas yang kukuh ini, para remaja boleh membawa diri ke mana jua mereka pergi. Bagi orang Melayu Islam. Bila kita ada pegangan, kita akan redha setiap apa yang diberikan oleh Allah sama ada ketentuan baik atau buruk  Kita tidak akan keluh kesah atau kesal di atas apa yang berlaku. Tetapi kalaulah sebaliknya, sudah pastilah kita akan mencari jalan mudah atau jalan yang tidak baik. Contohnya gagal dalam peperiksaan, cara mudah mengatasinya hisap dadah, berpoya-poya dan sebagainya. Kerana itu kita perlu ada pegangan. Kedua- Perjuangan- merdeka diri dari jiwa hamba, hamba kepada anasir yang merosakkan (pengaruh barat). Remaja mesti berjuang memerdekakan jiwa hamba, maksud saya hamba kepada kepada perkara negatif dan pengaruh barat yang amat mudah meresap dalam jiwa mereka. Jadi remaja Islam yang berjiwa merdeka, bebas dari sebarang kemungkaran dan kejahatan. Kita tidak akan sesekali mudah menerima perkara-perkara yang bertentangan dengan cara hidup, budaya kita.

Ketiga- Hubungan- yang sering dikaitkan dengan bahasa. Hubungan manusia diperindahkan lagi melalui bahasa. Bahasa adalah alat untuk berinteraksi dan berdakwah. Bahasa lambang jati diri setiap bangsa. Bangsa sendiri hendaklah pertahankan agar ia tidak lenyap ditelan zaman. Kita mesti mengagongkan bahasa kita. Orang Melayu bahasanya Bahasa Melayu. Sementara tulisannya adalah tulisan Jawi. Tetapi apa yang berlaku sekarang, tulisan jawi kita telah kuburkan dan bahasa kita sedang menuju ke arah kehancuran. Kalau begitu di mana bahasa kita yang melambangkan sebagai alat penghubung kita sebagai bangsa Melayu dan juga sebagai alat perpaduan. Kalau kita tidak mempertahankan dan memperbaiki apa yang berlaku, acuan yang telah sedia ada dalam jati diri atau identiti remaja terbantut. Bahasa tidak akan jadi lagi sebagai lambang yang menunjukkan sesuatu bangsa itu. Contohnya banyak iklan-iklan yang kita lihat tidak melambangkan bahasa dan budaya hidup kita. Bila remaja melihat semua ini, dia keliru dan dia hanya mengambil mana yang dia rasa sesuai dengan jiwanya.  Tetapi apa yang saya nampak sekarang DBP sedang mengorak langkah yang cukup bijak agar bahasa dan tulisan jawi dihidupkan semula.

Keempat- Hiasan- seni dan adab. Keindahan kehidupan manusia diserikan lagi dengan hiasan seni dan adab. Orang Melayu mempunyai seni dan adab yang amat baik dan lembut. Kehalusan seni termasuk hiburan adalah kekayaan Melayu Islam. Saya hairan kenapa kita berbangga menyanyikan lagu rentak barat seperti rock, heavy metal, rap, RNB, hip hop dan sebagainya. Tetapi kita tidak bangga menyanyikan lagu Melayu sering dikaitkan dengan seni dan adab. Pada saya seni dan adab yang ada pada orang Melayu cukup cantik dan halus kalau ianya dipamerkan. Contohnya cara duduk, cara bergaul sesama mahram, cara menghormati orang tua semua itu melambangkan peribadi yang sopan dan halus. Hiasan hidup ini kalau ditambahkan lagi dengan cara hidup Islam ianya akan menjadi lebih indah. Kalau boleh kita tidak mahu semua benda ini pupus.

Kelima- Susunan- dikaitkan dengan budaya. Budaya Melayu sememangnya sesuatu yang indah. Cara orang Melayu berpakaian, bercakap, bergaul dan Sebagainya. Sekiranya digabungkan kelima-limanya sekali akan terserlahlah keindahan, kecantikan pada orang kita. Ini kerana semua perkara ini kurang ada pada bangsa lain. Mereka sudah dipengaruhi oleh cara hidup orang barat.  Apa yang saya lihat, para pemimpin yang ada sekarang ini nampaknya sudah mulai sedar. Misalnya tulisan Jawi cuba diselamatkan dengan menghidupkan semula penggunaannya. Begitu juga dengan Bahasa Melayu, dipertahankan kerana ianya tunjang dan menjadi bahasa rasmi negara. Kesedaran pada kerajaan juga sudah mulai ada. Mereka nampaknya cuba mendaulatkan semula tulisan jawi yang menjadi sendi kepada kedaulatan negara.  Dalam hal ini kesemua perkara yang menjadi sendi kepada kedaulatan negara itu perlu ditegakkan dan didaulatkan agar ianya menjadi ikutan kepada remaja.
Misalnya dalam kursus-kursus bina semangat yang mana ianya dihadiri oleh para remaja.
Kedua- kecantikan, kehalusan dan kelembutan agama Islam itu sendiri mereka tidak praktikkan. Mereka tahu perlunya agama dan setiap apa yang disuruh oleh agama itu perlu dilakukan tetapi mereka tidak mahu ikut. Contohnya orang perempuan wajib pakai tudung bagi menutup aurat. Kenapa mesti ada alasan kalau dah berkahwin nanti baru nak pakai tudung, kenapa tidak sekarang sedangkan dia tahu benda tu wajib. Kalau tidak tahu kenapa dia bercakap nanti lepas berkahwin.
Ini menandakan dia tahu tetapi sengaja buat-buat tak tahu. Perkara seperti inilah yang saya katakan pemahaman yang sesat lagi menyesatkan. Mereka telah menyimpang dari arah asal kecualilah kalau mereka ini  jahil tentang agama. Dalam hal ini kita kena buat  kalau tidak buat itu bahaya.

Begitu juga orang kata nak 'enjoy' . Kalau ikutkan boleh 'enjoy' 24 jam tetapi mengikut orang kita kalau dikatakan 'enjoy' kena pergi berhibur di 'nite club', panggung wayang, siber cafe dan sebagainya yang membuatkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Sebenarnya 'enjoy' ni buat 'something' yang manusia suka dan Tuhan suka yang tidak bertentangan dengan fitrah manusia dan bercanggah dengan cara hidup kita. Bukan seperti menyertai Black Metal, bercampur bebas lelaki perempuan, mengamalkan seks bebas, pijak quran, pakaian yang tidak melambangkan ciri-ciri budaya kita. Apakah itu yang kita kehendaki.

Ketiga sikap tidak kisah ibu bapa, satu isu yang basi. Sepatutnya sebagai ibu bapa kita perlu mengambil berat akan kehidupan anak-anak. Bukan lepas tangan semata. Dalam hal ini kita ambil contoh tentang jari kita yang lima ini. Kenapa orang tua dulu-dulu menamakan jari kita dengan nama jari kelingking/anak jari, jari manis, jari hantu, jari telunjuk dan ibu jari. Sebenarnya ada cerita disebaliknya. Jari kelingking atau anak jari diumpamakan anak kita di peringkat umur bayi sehingga 10 tahun. Sebagai bayi dan kanak-kanak pada peringkat ini, kita pkena bermain-main dengan mereka, ia perlu juga dibelai, dimanja dan diberi perhatian yang khusus. Jari manis, peringkat anak di alam remaja. Di peringkat ini anak-anak diumpamakan berdarah manis. Ia perlukan pengawasan yang rapi dan disiplin diri. Waktu ini anak gadis kita sering diambil kesempatan oleh golongan tertentu.

 Misalnya, kes-kes cabul, rogol dan sebagainya. Mereka masih belum boleh diharap. Remaja lelaki pula kalau tidak dikawal boleh terjebak ke lembah masiat dan perkara-perkara yang tidak diingini. Justeru, ibubapa hendaklah mengambil berat dan memerhatikan pergerakan mereka. Selalu telefon di rumah, Tanya apa dia buat, dah sembahyang ke belum. Kalau tengok internet, apa yang dilayarinya.




INFO  5



RAHSIA POPULAR DI KALANGAN TEMAN-TEMAN


 Farhana selalu 'kelihatan' di mana-mana. Dia ramah, mudah diajak berbincang, jarang ada rasa ragu-ragu, cute dan tidak pedulikan apa kata orang lain. Farhana mempunyai keyakinan diri dan tingkah lakunya sering menarik perhatian teman-temannya. Fifie pula lain ceritanya. Bukan saja tidak ramah, dia selalu kelihatan muram dan tidak memperlihatkan sikap bersahabat.

Fifie jarang bergaul dengan teman-teman sekolahnya. Dia lebih suka menyendiri. Setelah tamat kelas, dia terus pulang ke rumah. Pergi ke tempat yang sama dan pulang ke tempat yang sama. Ada teman-temannya mengatakan Fifie 'membosankan' dan macam-macam lagi tanggapa negatif terhadapnya. Tambahan pula, Fifie tidak ada minat apa-apa di luar sekolah. Jumlah teman-temannya boleh dikira dengan jari tangan.

Sudah tentu kamu tidak mahu kehidupan seperti Fifie yang membosankan teman-temannya dan dirinya sendiri. Hari-hari sama sahaja boleh membuatkan kamu naik bosan dan hilang semangat. Sebalik, jika kamu menjalani hidup seperti Farhana, tentu kamu rasa riang gembira dikeliling oleh teman-teman yang tertarik pada sikapmu.

Kegiatan tambahan

Memupuk minat bererti memperluaskan pengetahuan. Tidak kira sama ada kamu seorang pelajar atau sudah bekeria, kamu masih tetap boleh bergiat di luar waktu sekolah kerja kamu. Terdapat pelbagai aktiviti yang kamu boleh ceburi seperti sukan, kelab belia, kursus-kursus dan sebagainya.

Mengikuti aktiviti tambahan yang positif adalah langkah bijak dalam mengisi masa lapang daripada kamu membuang masa melaku perkara-perkara negatif. Selain itu, kamu juga boleh berkenalan dengan mereka yang sama mengikuti aktiviti tersebut dan menambah pengetahuan kamu melalui perbincangan bersama.

Mudah diajak

Jadilah seseorang yang ramah, mudah didekati dan mudah diajak. Ada sesetengah orang yang mempunyai sifat semulajadi yang boleh menarik perhatian orang seperti sebuah magnet. Dia membuat orang lain berasa senang dan rileks bila bersamanya.

Yana, 16, masih ingat ketika pertama kali masuk kelas tingkatan empat di sekolah baru. Pada mulanya dia rasa kurang senang berada di sekolah baru itu tapi teman-teman kelas menerima kedatangannya dengan senyuman manis dan wajah-wajah ramah. Yana rasa gembira dengan sambutan yang diterimanya lalu bermesra-mesra dengan mereka yang sama kelas dengannya.

Maka, ambillah inisiatif untuk terlebih dahulu menyapa atau mengajak seseorang berbicara. Sekali kamu berusaha mahu mengenal orang lain bermakna kamu sudah setengah jalan ke arah sebuah persahabatan. Orang yang ramah akan merasa rileks dan orang lain pun merasa rileks berada di sampingnya. Sikap sedemikian harus ditanam dalam jiwa sejak masih kecil dulu.

Buka telinga dan dengar

Untuk berkomunikasi dengan berkesan, kita perlu mendengar bicara orang lain dengan baik. Jangan kita saja asyik yang bertutur tapi pihak lain tidak ada peluang bersuara.

Kata Lia, 18 tabun dari Kuala Lumpur, tiada gunanya berkawan dengan orang yang asyik bercakap tapi enggan mendengar orang lain. "Apalah gunanya terus berkawan dengan orang yang hanya mementingkan diri sendiri? Dia asyik berkata tentang dirinya dan enggan mendengar bila kita mahu berkata sesuatu padanya. Itukan sikap hipokrit." katanya.

Untuk mengelakkan diri terperangkap dengan sikap sebegini, kamu harus menanam sikap bersopan santun dan beri peluang kepada orang lain bersuara. Walaupun menjadi pendengar kelihatan mudah tapi sikap ini sangat dihargai oleh pihak lain.

Lihat ke arah positif

Fokuskan perhatianmu pada kekuatan dirimu dan buatlah sasaran yang kamu boleh capai. Jangan sesekali meletak dirimu di tempat yang terlalu tinggi sehingga boleh menyusahkan dirimu. Jika kamu berfikir positif tentang dirimu, orang lain pun akan berfikir sama tentang kamu dan ini menjadi suatu permulaan yang baik untukmu.

Jadilah dirimu sendiri

Kamu tidak perlu meniru gaya atau berpura-pura menjadi orang lain. Kamu adalah tetap kamu dan peribadimu yang dilihat orang tidak harus diubah semata-mata mahu menarik perhatian orang lain.

Ika, 17, sering merasa dirinya kurang menarik lalu meniru gaya teman baik, Linda. Dia mahu serancak Linda agar dapat menarik perhatian orang. Tapi suatu hari dia dapat tahu orang lain mengatakan dia suka meniru gaya Linda. Dia rasa tersinggung dengan kata-kata orang dan cepat-cepat Ika menghentikan 'lakonannya'.

Itulah yang kamu akan hadapi jika suka meniru orang lain. Mungkin kamu akan rasa seronok di permulaannya tapi orang lain pula merasa aneh melihat gelagatmu. Maka, tonjolkan dirimu yang sebenar. Dengan demikian kamu akan memaparkan hal-hal positif yang ada padamu.

Hindari tekanan

Jangan mudah mengalah atas prinsip yang kamu yakini. Ramai remaja yang suka mengalah bila didesak oleh teman-temannya. Jika kamu tidak setuju pada sesuatu hal, suarakan pendapatmu. Mungkin mereka rasa tidak senang padamu tapi itu cuma paling lama pun seminggu. Bahkan, di luar dugaanmu, mereka akan hormati keputusanmu kelak. Jika kamu asyik menurut kata-kata teman padahal kamu tidak setuju, perasaan tertekan akan wujud dan ini memberi kesan yang kurang baik pada dirimu.

Perhatikan mata

Bila sedang berbicara dengan seseorang, fokuskan pandanganmu pada mata orang yang kamu ajak berbicara itu. Sikap sedemikian menunjukkan kamu menghargainya dan kamu suka berbicara dengannya. Jangan sesekali melihat ke bawah, ke atas, ke kiri atau ke kanan hanya kerana kamu seorang yang pemalu. Orang lain pun mungkin rasa malu bila berhadapan denganmu. Tapi, jika kamu mengalihkan pandanganmu lurus ke matanya, dia akan lebih berkeyakinan berbicara denganmu.

Bicara penuh semangat

Janganlah malu-malu memulakan sesuatu perbualan dengan orang lain. Kamu boleh pilih topik yang sesuai diperbincangkan dan disukai orang ramai seperti isu politik, semasa, sukan dan sebagainya. Elakkan diri bercakap sesuatu topik yang tidak digemarinya. Orang yang mempunyai semangat tinggi ketika berbicara mempunyai ramai teman kerana caranya memudahkan orang lain mendekati dirinya.

Penampilan hebat

Penampilan bererti imej keseluruhan dirimu.Oleh itu, tonjolkan penampilanmu yang hebat seperti stail rambut, fesyen pakaian dan cara bercakap yang sesuai dengan dirimu.

Biarkan semuanya muncul kerana itu akan menyeramakkan semangatmu. Jangan rasa malu pada dirimu. Lihatlah dirimu di depan cermin dan senyum seolah-olah kamu sedang bersenyum di depan orang ramai. Walaubagai manapun, ubahkanlah imejmu bila tiba masa kamu perlu berbuat demikian. Sikap optimis seperti ini sentiasa menonjolkan dirmu seorang yang hebat dan disukai ramai.

Ketawa penawar hati

Ketawa adalah penawar segala kekesalan hati. Selain itu, tunjukkan humormu yang sejati. Orang yang asyik muram akan rugi kerana ia menghalang orang lain menghampirinya.

Bila lihat ada temanmu yang muram, tunjukkan humor-humormu agar dia akan kembali normal. Sifat positif seperti ini pasti akan mendapat tanggapan baik dari pihak manapun.

Mahu menjadi seorang yang menarik atau penyendiri, pilihan ada di tanganmu. Pilihlah dengan bijak supaya kamu tidak akan rasa rugi kemudian. Biasanya, seseorang itu akan melalui pelbagai peringkat dalam kehidupan hariannya. Banyak peristiwa yang berlaku boleh mempengaruhi minda dan sikap kamu. Namun, semuanya masih terpulang pada kamu sama ada menjadi seorang yang istimewa ataupun asyik bermuram sehinggakan kamu rasa dirimu tersisih dari masyarakat sekeliling.


INFO  6

CABARAN REMAJA

Perubahan-perubahan fizikal, emosi dan sosial semasa remaja memberi kesan terhadap kesihatan mental.
Masalah-Masalah Yang Sering Dihadapi Remaja


  •       Keliru dengan peranan dan tanggungjawab diri

  •       Sering merasa diri disalahfahamkan dan dipersalahkan

  •       Merasa diri dilayan secara tidak adil

  •       Kesunyian

  •      Sukar memahami emosi

  •      Susah membuat keputusan


Hubungan Dengan IbuBapa

Remaja yang mempunyai hubungan baik dengan ibubapa mereka sering menjalin perhubungan yang mesra dengan orang lain. Mereka juga kurang mengalami masalah kesihatan mental.

Cara-Cara Menjalin Perhubungan Yang Lebih Rapat Dengan IbuBapa



  •      Menghormati dan sedia meneriam tunjuk-ajar dan teguran mereka

  •      Membincangkan masalah anda dengan mereka

  •      Meluahkan perasaan dan pendapat anda secata terus terang

  •      Tunjukkan kasih sayang anda melalui kata-kata ataupun perbuatan

  •      Cuba memahami masalah dan beban ibubapa anda

  •      Meraikan harijadi mereka

  •      Ingatlah bahawa ibubapa menyayangi anda dan mahukan yang terbaik untuk anda

MENANGANI EMOSI
Keupayaan memahami emosi adalah penting di dalam kehidupan harian 




Apabila Anda Merasa Marah


  •          Tarik nafas sedalam-dalamnya. Beredar dari suasana tegang (jika perlu)

  •          Berfikir sebelum bertindak

  •          Tanya diri sendiri

  •          Kenapa saya marah ?

  •          Apalah punca masalah ?

  •          Apakah yang telah saya lakukan ?

Penyelesaian Konflik



  •          Kenalpasti punca konflik

  •          Dengan dulu apa yang hendak disampaikan oleh orang lain

  •         Nyatakan apa yang anda kehendaki dan mengapa anda marah

  •          Janganlah menyalahkan orang lain

  •          Tumpukan perhatian kepada tindakan yang menyebabkan konflik

  •          Bertenang semasa menerangkan pendapat anda

  •          Bincangkan bersama cara-cara penyelesaian masalah

  •          Carilah penyelesaian yang menguntungkan kedua belah pihak

Remaja yang Positif



  •          Bertimbang rasa

  •          Yakin terhadap diri sendiri

  •          Sedia menerima nasihat dan teguran

  •         Sabar

  •          Bertanggungjawab

  •          Rajin dan suka menolong

  •          Mahir berkomunikasi


INFO  7


MASALAH REMAJA LARI DARI RUMAH

Masalah remaja lari daripada rumah bukanlah sesuatu yang baru. Pelbagai usaha telah dilakukan demi membendung gejala ini dari berleluasa. Kebanyakkan remaja yang lari dari rumah mengikut kajian Polis Bukit Aman (November 1992/1993) ialah berumur di antara 14- 18 tahun.

Faktor-faktor yang menyebabkan anak-anak remaja lari dari rumah:

1) terasa malu dengan keluarga kerana sesuatu kegagalan.
2) Krisis dengan keluarga. Sesetengah keluarga ingin mengawal pergerakan dan pergaulan anak-anak.
3) Tidak dapat kasih sayang yang sepenuhnya daripada ibu bapa sewaktu kecil.
4) Remaja mengalami tekanan jiwa kerana gagal memenuhi kehendak ibu bapa terhadap pencapaian pelajaran.
5) Rosak akhlak dan pernah menjadi mengsa rogol.
6) Degil dan tidak mendengar nasihat yang berguna daripada ibu bapa. Oleh itu ramai yang merajuk dan membawa diri.
7) Kemiskinan keluarga menyebabkan ramai yang mencari peluang pekerjaan di Bandar.
8) Terpengaruh dengan pujuk rayu teman.
9) Ditipu dengan ejen sosial yang berpura-pura untuk mendapatkan pekerjaan.
10) Sengaja ingin mendapatkan keseronokan dan kebebasan kehidupan di Bandar.

Bagaimanapun terdapat juga para remaja yang pandai menjaga diri dan sanggup bekerja setimpal dengan kelulusan mereka. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting bagi mencegah berlakunya masalah ini dari berleluasa.




INFO  8

CARA-CARA MELAYANI DAN MENGATASI PERGOLAKAN JIWA REMAJA

Ibu bapa bertangungjawab untuk memberi pendidikan agama yang secukupnya kepada anak-anak remaja.

Ibu bapa perlu peka dengan permasalahan konflik jiwa remaja dan sering menaihati mereka.

Ibu bapa dan guru perlu mengelakkan pilih kasih semasa membimbing remaja.

Anak remaja yang di alam percintaan ibu bapa bertanggungjawab menyelidiki pasangannya itu.
Ibu bapa perlu memahami ilmu tentang jiwa remaja

Jangan meletakkan harapan yang tinggi kepad anak remaja tetapi sentiasa memberi dorongan dan semangat dengan kebolehan yang sesuai dengan mental mereka.

Wujudkan komunikasi yang baik antara ibu bapa dan remaja itu sendiri agar tiada jurang. Berikan peluang kepada remaja untuk melontarkan idea mereka.




INFO  9

SEKSUALITI REMAJA

Pertumbuhan intelelektual, moral serta spiritual biasanya diiringi dengan kemunculan seksualiti mereka. Sarrel dan Sarrel (1979) menamakan konsep ini sebagai sexual unfolding. Remaja membentuk identifikasi seksual dan meningkatkan keupayaan terhadap kematangan emosi dan seksual:

1) Perubahan peringkat pada tubuh badan
2) Kemampuan untuk mengatasi atau mengubah perasan bersalah, kebimbangan zaman kanak-kanak terhadap pemikiran dan tingkah laku sosial.
3) Peleraian satu iktan emosi yang utama dengan ibu bapa atau penjaga
4) Belajar mengenai keseronokan erotik atau rasa berahi dan ketidakselesaannya serta mampu membincangkan soal ini dengan teman-teman.
5) Penyelesaian konflik dan kekeliruan mengenai orientasi seksual.
6) Peningkatan sebagai seorang yang berkemampuan seksual dan kedudukan seks dalam kehidupan.
7) Ke arah tanggungjawab terhadap pasangan ,diri, dan masyarakat
8) Peningkatan keupayaan dalam bentuk kasih sayang.




INFO  10

HUBUNGAN SEKS LUAR NIKAH

Pengalaman pertama remaja biasanya dipenuhi dengan perasaan cemas, takut dan kerisauan. Hal ini kadang-kadang terbawa sehingga ke peringkat pertengahan dan akhir remaja.

Dalam kajian tahun 1980 Zelnick dan Kantner melaporkan bahawa lebih daripada 50% remaja Amerika syarikat pernah melakukan hubungan seks.
Secara puratanya di sekitar usia 16 tahun. Tidak menjadi sesuatu yang luar biasa untuk mendapati remaja berusia 13 dan 14 tahun aktif secara seksual dalam melakukan hubungan kelamin.

Satu perkara yang tidak dapat dielakkan apabila remaja menggunakan kegiatan seksual sebagai cara untuk menarik perhatian masyarakat atau ibu bapa.

Penyakit pindahan seksual juga dikenali dengan nama panggilan singkatan STD . Amerika, gonorea lebih biasa dihadapi oleh golongan remaja belasan tahun daripada kelompok kelas pertengahan. Siflis pula ebih ketara di kalangan remaja daripada kelompok rendah.
Usia jangkitan paling tinggi ialah kepada mereka yang berusia antara 15-24 tahun.




INFO  11

BEBERAPA MASALAH BERKAITAN REMAJA

Para remaja dikatakan menghadapi masalah menerima bentuk tubuhnya yang baru. Disamping masalah psikologikal ini, para remaja juga menghadapi masalah-masalah yang berbentuk fisiologikal yang perlu mereka atasi sendiri.

Bagi remaja wanita, haid adalah sesuatu proses yang normal tetapi seringkali menyebabkan ketidakselesaan pada mereka. Kadangkala ia berlaku dengan diiringi oleh perasaan seperti kemurungan, keletihan, kelesuan dan kemarahan.

Satu lagi masalah yang dihadapi oleh remaja ialah masalah berat badan. Masalah ini terjadi dalam dua bentuk, pertama ialah keadaan badan yang gemuk dan kedua, keadaan badan yang terlalu kurus. Bagi remaja yang tidak dapat mengawal kehendak makanan, mereka akan menghadapi masalah Bulimia.

Beberapa masalah kecil sentiasa menjadi tumpuan kepada remaja. Ketumbuhan jerawat sering berlaku di zaman remaja dan mereka amat sensitif akan perkara ini. Jerawat merupakan sesuatu yang menghodohkan rupa mereka dan perkara ini sering di perbesar-besarkan.




INFO  12

REMAJA TERIKUT TREND BARAT 

Pada zaman globalisasi ini, negara-negara di seluruh dunia yang terpisah oleh jarak ribuan kilometer dianggap sangat dekat kesan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi. Oleh sebab itu, apabila berlaku suatu perkembangan terbaru di sesebuah negara, terutamanya negara maju, maka perkembangan itu akan melanda negara-negara lain dengan pantas. Golongan remaja yang paling mudah terikut-ikut trend semasa terutamanya golongan remaja Islam. Mereka akan meniru cara pergaulan, berpakaian, berkomunikasi atau cara berhibur yang ditonton di televisyen atau dilayari melalui internet.

Hal ini terjadi kerana remaja memang memiliki sifat suka meniru dan cepat terpengaruh dengan sesuatu yang dianggap menarik. Mereka memiliki sikap suka mencuba sesuatu yang baharu tanpa berfikir panjang tentang kebaikan atau keburukannya. Antara aspek kehidupan yang kerap berubah termasuklah gaya berpakaian. Remaja suka meniru cara masyarakat Barat berpakaian sebagaimana yang ditonton di televisyen. Oleh sebab itu, bilangan remaja yang berani berpakaian menjolok mata hingga mendedahkan aurat semakin meningkat. Sesungguhnya hal ini merupakan suatu trend yang kurang sihat bagi masyarakat timur yang terkenal dengan adab sopan.

Selain itu, remaja mudah terikut-ikut dengan trend pergaulan remaja Barat yang saban hari ditonton di skrin televisyen. Mereka turut mengamalkan kehidupan bebas tanpa memikirkan batasan agama atau adat. Pergaulan bebas antara lelaki dan wanita ini memang suatu fenomena yang tidak sihat kerana keadaan ini mudah menjerumuskan remaja ke lembah hubungan seks bebas yang terang-terang melanggar hukum agama dan dapat mencetuskan masalah sosial yang lain, misalnya kes pembuangan bayi.

Perkembangan dunia hiburan di Barat turut juga menjadi ikutan remaja hari ini. Mereka meminati muzik ‘Black Metal’ dan meniru gaya pemuzik itu. Ada yang menjadikan pemain muzik, penyanyi atau pelakon itu sebagai idola mereka hingga meniru fesyen rambut dan gaya berpakaian yang menjolok mata. Malahan, mereka sanggup bertindak liar hingga tidak lagi mengamalkan budaya hormat-menghormati atau bersopan-santun. Sebaliknya, mereka kerap mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan perlakuan lucah.

Dalam hal ini, setiap remaja mestilah mengetahui apabila olahraga merupakan penyegar rohani dan ilmu pengetahuan merupakan penyegar akal fikiran, nescaya seni adalah penyegar dan santapan bagi jiwa. Hanya yang dimaksudkan dengan seni di sini adalah suatu bentuk karya yang dapat mengangkat martabat manusia, bukan menjerumuskannya ke dalam kehinaan.

Apabila jiwa seni itu adalah rasa dengan adanya keindahan dan keni’matan dalam jiwa penghayatinya, hal inilah yang selalu diperhatikan dan ditekankan oleh kebanyakan ayat Al-Qur’an. Kita dengan tegas diingatkan kepentingan unsur keindahan dan kecantikan yang telah Allah SWT ciptakan pada setiap makhluk-Nya, selain unsur manfaat atau faedah yang juga ada padanya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya.” (As-Sajadah:7).

Islam menghidupkan cita rasa keindahan dan mengukuhkan seni keindahan, tetapi dengan syarat tertentu yang membawa kemasyarakatan dan tidak mendatangkan kerosakan.Setiap remaja mestilah mengamalkan adab berlandaskan Islam, bersikap lemah lembut dan berbudi bahasa. Daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Sesungguhnya Allah Taala itu lemah lembut dan suka kepada lemah lembut. Dan Ia memberi hasil kerana lemah lembut itu apa yang tidak Ia berikan atas tindakan yang kasar atau tindakan lainnya”. Kelembutan dalam tindakan yang dimaksudkan adalah satu perkara yang sangat baik dan patut dilaksanakan, perkataan yang dituturkan dengan lemah lembut itu amat berkesan di lubuk hati.