ISU SEMASA

SEKOLAH DIARAH WUJUD PETI ADUAN BULI

PUTRAJAYA 19 Sept. – Kementerian Pelajaran hari ini mengarahkan semua sekolah mewujudkan peti aduan buli dalam usaha mencegah dan menangani gejala tersebut di sekolah masing-masing. Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, arahan tersebut penting bagi memudahkan mangsa mengemukakan aduan dan siasatan manakala tindakan juga dapat dilaksanakan segera.

Beliau berkata, ia juga sejajar dengan matlamat kementerian yang mahu membanteras kegiatan itu di peringkat akar umbi. “Peti aduan itu perlu diwujudkan berikutan kesukaran pihak sekolah mendapatkan maklumat atau laporan daripada murid khususnya berkaitan perbuatan buli. “Ada ketikanya, murid yang terlibat berasa takut untuk mengadu secara terus kepada guru mereka,” katanya di sini, hari ini. Bagaimanapun, Alimuddin mengingatkan pihak pengurusan sekolah agar bersikap telus, adil dan profesional dalam menguruskan setiap aduan buli yang diterima. “Dalam hal kerahsiaan pengadu, sudah tentu kami telah mengambil kira soal tanggungjawab pihak pengurusan sekolah yang terbabit,” katanya.Beliau berkata, pihak sekolah perlu memaklumkan kepada semua murid, warga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tentang fungsi peti itu serta memberi keyakinan terhadap keberkesanan dari segi pelaksanaannya.

Katanya, semua urusan siasatan serta tindakan terhadap aduan buli murid yang diterima diuruskan oleh Jawatankuasa Disiplin Sekolah dan Asrama di peringkat sekolah masing-masing. “Ini kerana kita mahu jawatankuasa itu dapat dirasai kewujudannya oleh warga sekolah dan dengan cara ini, murid-murid akan berasa selamat dan selesa untuk belajar.
“Sehubungan itu, jawatankuasa tersebut perlu mengambil tindakan segera terhadap setiap aduan yang dibuat oleh murid atau pihak berkepentingan lain,” katanya.
Utusan Malaysia Online: 20 September 2010

Ibu bapa mesti bantu tangani isu disiplin

MASALAH disiplin pelajar kita hari ini berada pada tahap membimbangkan. Apabila hal ini berlaku, banyak pihak menuding jari menyalahkan sekolah semata-mata terutama guru kerana dianggap gagal mendisiplinkan pelajar. Sesungguhnya kenyataan ini tidak boleh diterima sama sekali.Masalah disiplin pelajar bagaikan tiada penghujungnya. Saban waktu ada saja berita mengenainya dilaporkan. Dalam pada itu, ada beberapa kes disiplin pelajar yang ternyata mencabar kredibiliti guru sebagai pendidik.



Sebagai contoh, ada kes pelajar perempuan menendang cikgu perempuan di dalam kelas, pelajar lelaki menumbuk guru di bilik guru dan banyak lagi kes disiplin yang berlaku di kawasan sekolah. Ada antara kejadian itu dirakamkan menerusi telefon bimbit dan kita boleh melihatnya menerusi Youtube. Hal ini menunjukkan betapa seriusnya disiplin pelajar pada hari ini. Pelajar sudah tidak menghormati guru, tidak takut kepada guru malah berani menentang guru. Hal sebegini satu ancaman kepada institusi sekolah dan guru yang dianggap mulia.


Tambahan pula, perkara seperti ini akan memberikan impak negatif berkaitan keupayaan institusi sekolah untuk melahirkan modal insan yang berkualiti. Perkara seperti ini tidak harus dipandang ringan dan kita tidak boleh membiarkannya berleluasa sehingga boleh menjadi barah di kalangan pelajar yang akhirnya mengundang padah. Saya melihat ibu bapa adalah pihak paling bertanggungjawab yang seharusnya tampil untuk membantu sekolah menangani isu disiplin pelajar yang membabitkan anak mereka. Dalam pada itu, tindakan segera perlu diambil untuk mengenal pasti punca disiplin pelajar menjadi kronik sebegini.


Pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan masyarakat harus saling bekerjasama dengan mewujudkan rantaian yang sihat dalam menangani masalah disiplin pelajar. Langkah penyelesaian yang diambil secara bijak sudah tentu dapat meleraikan belenggu ini. Tidak adil jika isu menangani masalah disiplin pelajar diserahkan kepada sekolah semata-mata.
Berita Harian Online


Kewajaran Remaja 15 Tahun Ditembak Polis PDRM


Terlebih dahulu, saya mengucapkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa remaja yang telah ditembak mati oleh seorang anggota polis. Memang amat menyedihkan apabila insan yang paling kita sayang telah pergi meninggalkan kita. Semoga arwah ditempatkan di tempat yang baik insyaAllah. Pandangan saya ini hanyalah sebuah pandangan yang tidak ada kena mengena atau pro kepada sesiapa.
Insiden tembak mati yang tidak sengaja ini telah menjadi buah mulut kepada semua rakyat Malaysia. Ia juga turut menjadi fenomena di laman terkenal tanahair mahupun dunia iaitu Facebook. Ramai yang menuduh PDRM sebagai menyalahgunakan kuasa, tidak bertanggungjawab, teruk, dah sangat korup (macam tak kena mengena je) dan bermacam-macam lagi. Hakikat yang perlu kita ketahui yang mereka ini hanyalah manusia, dan sedang dalam menjalankan tugas.
Bayangkan. Ya aku suruh korang bayangkan yang korang ni sebagai polis peronda. Pada suatu malam yang gelap, awal-awal pagi, sekitar pukul 2 pagi, waktu yang baik untuk ramai penjenayah untuk bekerja, tiba-tiba, sebuah korang ternampak sebuah kereta dipandu laju, dipandu secara bahaya, dan ditambah lagi yang ianya sedang dikejar oleh beberapa buah motorsikal, menambahkan lagi syak korang. Sebagai seorang anggota polis yang bertanggungjawab, dan dalam tugas meronda, kejadian ini menarik perhatian korang. Maka korang pun kerja sama kereta yang disyaki sedang melakukan jenayah. Korang kejar, dan korang sudah bunyikan seren polis, dan suruh kereta tu berhenti, tapi dia tak berhenti juga. Korang pun lepaskan tembakan kerana menyangkakan yang pemandu dalam kereta tu merupakan penjenayah yang sangat berbahaya.

Akhir sekali korang menembak lagi, kali ni terkena kepada salah seorang dari penghuni dalam kereta tersebut. Kereta berhenti. Korang yang tengah cemas mengejar penjenayah ini pun terus meluru ke kereta mangsa sambil pistol masih di tangan. Dalam keadaan spontan, korang terus menyepak dan menyerang sesiapa sahaja yang berada dalam kereta. Yelah, kalau korang berbuat baik, ‘penjenayah’ itu mungkin mengambil kesempatan dengan mengeluarkan senjata seperti parang untuk membunuh korang. Selepas diperiksa betul-betul, “Ya Allah, budak rupa-rupanya yang aku tembak ni. Kenapa? Kenapa? Kenapa budak boleh bawak kereta waktu pagi-pagi buta ini? Ada lesen ke? Apa mak bapa dia buat kat umah? Kenapa? Kenapa? Aku tidak sengaja!” Maka korang pun menjadi bualan rakyat Malaysia yang haprak satu pun tak tahu pasal lumrah kerja sebagai polis.
Polis pun satu, tak usah buat press statement yang pelik-pelik dan yang macam kamu tu bersalah. You are doing nothing wrong. It is just a mistake and just an accident. Perlu tegas dalam hal-hal semacam ni. Buka balik buku standard operational procedures (SOP) dan tunjuk kepada awam yang tindakan dibuat oleh anggota terbabit memang ada dalam buku SOP. Jumpa keluarga mangsa, dan minta maaf. Saya hanya menjalankan tugas.
2 tahun lalu, 2 orang remaja memandu motorsikal tanpa ada lesen dan tidak tahu pun undang-undang jalan raya. Menaiki motor adalah kegemaran mereka. Mereka pun bersiar-siar dengan enaknya. Tiba-tiba kerena kejahilan mereka dalam cara melintas jalan simpang empat dan tidak mematuhi tanda jalan raya, motorsikal mereka telah dilanggar oleh sebuah kereta. Kereta itu pun memecut lari meninggalkan tempat tersebut apabila menyedari telah melanggar pemandu dan pembonceng motorsikal yang bodoh lagi jahil.

Pada masa yang sama, ibu bapa aku terkejut melihat tiba-tiba ada sebuah motorsikal melambung masuk ke laluan perjalanan mereka. Bapa ku mengelak dan terus kereta terbalik masuk ke parit. Dan ibu bapa ku meninggal dunia di tempat kejadian. Ini merupakan kejadian sebenar, aku anak yatim piatu. Qadak dan Qadar Allah, kita sebagai yang hidup haruslah meredhai dengan apa yang terjadi.
Bayangkan pula, remaja yang masih mentah, tidak ada lesen, dan dalam keadaan bersalah, pertama telah melanggar kereta orang, selepas itu dikejar orang, dan dikejar polis pula. Suasana menjadi cemas. Beliau takutkan tembelang beliau mencuri kereta abang iparnya dan juga tembelang beliau keluar rumah secara haram diketahui keluarga. Malu, nanti semua orang akan tahu! Maka beliau kena la bawa laju walaupun dia pun tak berapa nak tahu bawa kereta. Dalam keadaan yang gabra itu, terdengar bunyi tembakan amaran. Nak berhenti ke tak ni. Berhenti la, takut aku….tiba-tiba, bammmm….kenapa gelap duniaku….
Bayangkan lagi remaja yang menaiki kereta abang iparnya, yang hanya berumur 15 tahun, yang pastinya tiada lesen memandu. Memandu dengan laju dan dalam keadaan yang gila, melanggar salah seorang dari keluarga korang. Bukan satu, tapi dua, adik-adik korang yang sedang berbasikal di tepi jalan, dirempuh dan terbunuh ditempat kejadian. Apa perasaan korang? Adakah korang dapat memaafkan orang yang jahil (tidak ada lesen memandu) dan cuai dalam memandu kereta? Fikir-fikirkan lah…semua orang ada sahamnya masing-masing…
Berita Harian Online

Remaja Jatuh Mati Selepas Berkhalwat di Selayang



Bagi kebanyakkan orang, ini hanyalah berita biasa. Tapi bagi aku, ini merupakan satu berita yang dasyat. Sebab apa? Kerana seorang remaja lelaki ISLAM telah meninggal dunia dalam keadaan yang berdosa. Sama ada dia telah terlanjur ataupun tidak sebelum jatuhnya remaja tersebut ke lubang ‘neraka’ dunia, yang pasti dia telah berdua-duaan dengan seorang wanita yang bukan muhrim.

Jika kita fikir-fikir kan lah, gerangan pihak ketiga yang muncul apabila seorang pemuda dan seorang wanita yang tidak ada apa-apa hubungan berdua-duaan dalam sebuah bilik. Nauzubillah. Adakah akhlak dan iman remaja-remaja islam sekarang ini sudah mencapai tahap yang paling tahi sekali? Kita yang masih hidup ini, semoga mengambil iktibar dari kisah ini. Mati boleh menjemput kita pada bila-bila masa sahaja. Selalulah berdoa kita akan mati dalam keadaan kematian yang baik. InsyaAllah.


KUALA LUMPUR: Hanya kerana mahu mengelak ditangkap berkhalwat, seorang pemuda terbunuh selepas terjatuh dari rumah sewa teman wanitanya di tingkat lima Apartmen Jelutong, Selayang Heights, di sini awal pagi semalam. Dalam kejadian jam 1.40 pagi itu, mangsa yang berusia 21 tahun dan masih menuntut di Kolej Komuniti Selayang dikatakan cuba mengelak ditahan dengan melarikan diri melalui tingkap sebaik pintu rumah diketuk sepasukan pegawai pencegah maksiat dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Bagaimanapun, pemuda itu dipercayai tergelincir ketika cuba meniti tembok luar bangunan yang licin sebelum terjatuh dan mayatnya ditemui terperosok dalam longkang di tingkat bawah pangsapuri berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pelajar terbabit mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.
“Berdasarkan keterangan pegawai (Jais) terbabit, mereka melakukan serbuan ke rumah itu selepas mendapat maklumat ada aktiviti maksiat di situ. Bagaimanapun, ketika mengetuk pintu rumah berkenaan, mereka terdengar bunyi seperti objek jatuh. Pintu kemudian dibuka seorang gadis Melayu, dipercayai teman wanita mangsa dan didapati tingkap rumah itu terbuka. Curiga dengan keadaan itu, pegawai terbabit memeriksa ke luar tingkap dan mendapati ada seorang lelaki terperosok dalam longkang,” katanya.
Katanya, hasil siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kes berkenaan yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan sudah dituntut warisnya untuk dikebumikan. Katanya, teman wanita mangsa yang turut menuntut di kolej sama kini ditahan oleh Jais untuk siasatan.





Menangani isu remaja


SETIAP kali tiba musim cuti sekolah, sesetengah ibu bapa mula memikirkan aktiviti untuk anak remaja mereka. Bagi yang merelakan pilihan itu dibuat sendiri, selalunya remaja memilih percutian membabitkan rakan sebaya. Persepsi umum terhadap manifestasi ‘jiwa muda’ dalam aktiviti remaja lazimnya menganggap ia sebagai ekspresi kehidupan bertenaga, penuh semangat dan keseronokan. Namun, secara rasional adakah tanggapan begini mencerminkan keadaan sebenar remaja kita?
Agak malang bagi kita kerana sebahagian realiti remaja sering dicemari pelbagai permasalahan tingkah laku sama ada yang berlaku di depan mata ataupun yang dilaporkan media. Kisah pelajar institusi pengajian tinggi melahirkan anak sedikit sebanyak mencelikkan kita bahawa memiliki tahap pengajian tinggi belum mencukupi untuk menjamin peri laku berteraskan akhlak mulia. Kerisauan terhadap remaja bukan igauan paranoid kerana hampir setiap hari kita dihidangkan kisah salah laku remaja membabitkan perilaku jenayah seksual, gengsterisme, salah guna dadah, lumba haram dan banyak lagi. Apa yang lebih menyedihkan, kes ini semakin meningkat. Semua pihak pasti bersetuju kita perlu memandang fenomena ini dengan serius dan seterusnya berusaha mencari penawarnya jika kita mahu menyelamatkan generasi muda daripada terus bergelumang dalam kemelut sosial.
Berdasarkan laporan media, isu permasalahan remaja menjurus ke arah bertentangan dengan aspirasi negara. Fenomena ini menambahkan kerisauan untuk berdepan cabaran dalam membimbing anak. Tidak dinafikan banyak pencapaian remaja kita yang membanggakan dalam pelbagai aspek dan tidak adil untuk kita berfikiran terlalu negatif terhadap remaja secara amnya hanya kerana ‘kes tertentu dan terpencil’. Bagaimanapun, sejauh manakah kepastian kita bahawa kes ini bukan sekelumit daripada keadaan sebenar yang mungkin jauh lebih besar daripada jangkaan kita? Banyak kes remaja menakutkan kita tetapi ada baiknya jika kita cuba melihat secara membina bagaimana mungkin kita dapat membantu remaja membuat keputusan terbaik dalam menjalani kehidupan.
Di segi perundangan, kes juvana tidak boleh ditangani seperti mereka yang berusia dalam usia majoriti. Memang benar remaja dianggap tidak berupaya membuat pertimbangan wajar kerana usia muda, tetapi ini sepatutnya mengajak kita berfikir bagaimana mereka terjebak dalam permasalahan itu.  Isu lebih besar ialah bagaimana hendak mengelak remaja daripada terjerumus ke kancah jenayah dan bukan sekadar memikirkan apa yang patut kita lakukan terhadap mereka selepas melakukan perlakuan jenayah. Dalam erti kata lain, bagaimana cara membimbing remaja agar mereka membuat keputusan yang sihat.
Cabaran untuk berbicara dengan remaja menuntut lebih daripada sekadar pengawasan ibu bapa dan penjaga kerana secara am mereka lebih gemar mendengar pandangan rakan. Untuk memahami remaja, tidak cukup dengan hanya membaca artikel dan buku psikologi remaja kerana dunia mereka dipenuhi pelbagai perkara ‘hebat’ atau ‘cool’. Fesyen, muzik, sukan, filem, hubungan sosial, teknologi, bahasa, slanga dan pelbagai lagi adalah sebahagian daripada perkara yang berlegar dalam identiti remaja. Ketika usia ini juga, sifat ingin tahu dan mencuba mereka berada pada tahap yang tinggi. Bagi sesetengah remaja, persekitaran mampu mencetuskan orientasi positif yang dapat mempengaruhi cara mereka membuat keputusan dengan bernas. Sebaliknya, bagi sesetengah yang lain, reaksi mereka terhadap apa yang berlaku dalam persekitaran mereka jelas menunjukkan mereka tersasar dalam membuat tafsiran dan mengambil sesuatu keputusan serta tindakan.
Bagaimana keadaan ini boleh berlaku? Apakah jenis prinsip, nilai, kepercayaan atau pengalaman dianggap penting, menarik atau ‘cool’ bagi remaja? Mengapakah penting bagi mereka mengambil kira pandangan rakan terhadap apa sahaja yang mereka lakukan? Sejauh manakah faktor pengaruh rakan sebaya mempengaruhi remaja? Persoalan ini sebahagian daripada persoalan perlu kita selami dan fahami dalam menangani isu sosial yang kita bincangkan. Faktor penyebab salah laku remaja boleh dikelaskan sebagai faktor pendorong atau penggalak. Satu lagi pengkelasan faktor ini adalah dengan membahagikannya dalam kelompok faktor dalaman atau luaran.
Antara faktor dalaman mempengaruhi perlakuan seseorang remaja itu termasuk faktor kepercayaan kepada prinsip, nilai, dogma, pegangan agama, motivasi, sikap, minat dan sebagainya. Faktor ini selalunya mendorong kemahuan seseorang ke arah sesuatu perlakuan. Sementara itu, persekitaran luaran seseorang remaja yang kebiasaannya dikelilingi keluarga, rakan, ibu bapa, teman sekelas atau sekerja, masyarakat setempat dan lain-lain lagi sering menyumbang atau menggalakkan seseorang ke arah sesuatu perlakuan.
Pengaruh rakan sebaya sering dianggap faktor penggalak utama yang mempengaruhi sikap remaja terutama dari kaca mata ibu bapa dan golongan dewasa. Barangkali sudah menjadi lumrah manusia untuk melihat suatu anasir yang datang daripada pihak lain sebelum menyedari kesilapan sendiri. Meskipun tidak dinafikan faktor rakan sebaya boleh menjadi sebab utama dalam mempengaruhi sikap remaja, sebahagian kita seakan-akan begitu mudah memaafkan remaja itu apabila menyedari faktor luaran adalah penyebab salah lakunya, seolah-olah faktor ini ibarat tiket yang melayakkan mereka bertindak apa sahaja.
Bagaimanapun, yang pasti mereka pada hakikatnya perlukan bimbingan sewajarnya untuk mengharungi zaman remaja yang mencabar. Saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Oktober 2003 ketika beliau masih Timbalan Perdana Menteri agar ibu bapa serta guru dilatih dengan kemahiran kaunseling adalah cadangan yang patut kita amati dengan serius. Jelas Abdullah mahukan suatu sinergi antara institusi pendidikan dengan kekeluargaan dalam menangani permasalahan remaja. Beliau berkata: “Dengan cara ini kita harap jumlah anak bermasalah akan dapat dikurangkan dan seterusnya akan mengurangkan jumlah pelajar bermasalah”. Penjelasan ini membuktikan betapa kaedah kaunseling perlu dipraktikkan dalam isu remaja. Ia juga secara langsung meminta latihan kaunseling dipertingkatkan di kalangan masyarakat.
Tetapi, meskipun kepentingan kaunseling meningkat, kesedaran terhadap kepentingannya belum seiring. Ketika kita yang berkesedaran mencari pihak berkeupayaan memberikan latihan kaunseling, seperkara tidak kurang pentingnya adalah mencari jalan menyedarkan orang ramai bahawa kita perlu berusaha mencari latihan itu dan bukan hanya duduk menongkat dagu ibarat menanti makanan disuapkan. Jurulatih kaunseling, Ong Eng Eng, berkata tanggapan kaunseling hanya layak dipertimbangkan sebagai langkah kedua agak menyedihkan apatah lagi jika ia dianggap cara terakhir untuk menangani permasalahan remaja.

“Oleh itu, konsep latihan kaunseling yang membina, selesa dan lengkap perlu diketengahkan sebagaimana Program Kepemimpinan Mentor Profesional (Professional Leadership Mentoring atau PLM) yang diusahakannya. Ong berkata: “Program PLM ini mengandungi siri modul membantu mentor membangunkan aspek kepemimpinan dan kekuatan dalaman remaja. Ini akan menghindarkan mereka daripada mengalah kepada cabaran dan membuka luas pandangan mereka serta memupuk keberanian di dalam hati masing-masing”. Program PLM ini mendapat pengesahan di Malaysia di samping pengiktirafan Institut Pengurusan dan Pentadbiran Profesional (IPMA) dari United Kingdom. Mentor yang menjalani latihan ini akan dianugerahkan Associate Diploma Program Kepemimpinan Mentor Profesional.
Program PLM direka sebagai rangka pemikiran praktikal mengandungi prinsip kepemimpinan abad ke-21, kemahiran hidup serta sikap positif. Program ini turut mengetengahkan konsep latihan kepemimpinan menerusi sistem mentor dengan seseorang mentor profesional memainkan peranan sebagai jurulatih yang membangunkan semangat kepemimpinan serta ketrampilan anak buahnya. Ong berkata: “Harapan saya agar dapat membentuk jaringan kumpulan mentor profesional bagi Program Kepemimpinan Mentor Profesional ini. Kita perlukan jaringan mentor besar berorientasi khidmat masyarakat untuk sama-sama membimbing remaja Malaysia. “Kami percaya program ini dapat menjadi mekanisma pendidikan remaja berdaya saing, bukan sekadar dalam membendung dan mengurangkan penyakit sosial tetapi dalam mendorong remaja agar lebih terbabit dalam usaha memberi khidmat buat masyarakat”.

Isu remaja ditembak ke Kabinet hari ini
SHAH ALAM 27 April - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar akan membangkitkan isu seorang remaja, Aminulrashid Amzah, 15, yang mati ditembak oleh sepasukan polis semalam pada mesyuarat Kabinet esok.
Menurutnya, selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, beliau akan meminta polis melakukan siasatan yang adil dan telus berhubung isu itu. ''Kita mahu siasatan rapi dan tidak melindungi mana-mana pihak yang terlibat," katanya pada sidang akhbar di rumah remaja itu di Seksyen 11 di sini hari ini.
Hadir sama ibunya, Norsiah Mohamad, 60, dan dua kakaknya iaitu Nor Azura, 39, dan Tuty Shalinza Anom, 36, serta Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M. Zin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, pelajar Sekolah Menengah Seksyen 9 di sini yang menaiki kereta Proton Iswara mati akibat terkena tembakan sementara rakannya berjaya melarikan diri.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, sebelum kejadian anggota polis peronda terserempak dengan kedua-dua suspek dalam keadaan mencurigakan tetapi enggan berhenti ketika diarahkan berbuat demikian. Salah satu tembakan yang dilepaskan mengenai mangsa menyebabkan dia mati di tempat kejadian.
Ekoran kes itu, empat anggota polis terlibat kini digantung kerja sehingga siasatan selesai.Menurut Noh, UMNO negeri juga menawarkan bantuan khidmat guaman kepada keluarga Aminulrashid jika diperlukan. Jelasnya, kejadian tersebut sudah pasti meninggalkan kesan pahit kerana Aminulrashid adalah anak bongsu daripada lapan beradik yang diketahui seorang anak yang baik dan hormat kepada orang tua. Namun katanya, apabila dilaporkan dalam media bahawa remaja itu dipercayai terlibat dalam jenayah, sudah pasti ia memberi gambaran tidak baik terutama kepada ahli keluarga mangsa.
Beliau juga berharap tiada pihak yang mensensasikan kes tersebut kerana fokus utama kini untuk mencari keadilan dan hasrat itu tidak boleh dicapai jika ia dipolitikkan. Katanya, biarlah polis melakukan siasatan rapi termasuk menggunakan khidmat pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Selangor dan jika dibicarakan terserah kepada mahkamah untuk membuat keputusan.






PELANCARAN PERKHEMAHAN BELIA BENCI DADAH

Perkhemahan Belia.jpg


Selasa, 2hb Disember 2008 - Seramai lebih lapan puluh orang belia masjid masjid seluruh negara telah menyertai Perkhemahan Belia Benci Dadah yang diadakan di perkarangan Masjid RPN Kampong Pandan. Perkhemahan dua hari anjuran bersama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Masjid RPN Kampong Pandan dan Biro Kawalan Narkotik sempena percutian penggal akhir persekolahan 2008.

Majlis pelancaran perkhemahan belia oleh Pengarah Biro Kawalan Narkotik, Haji Abdul Aziz Haji Othman.  Dalam ucapan beliau menekankan institusi masjid sengaja dipilih sebagai paksi atau pusat kegiatan belia biro kali ini dan sangat-sangat menitikberatkan pengisian ilmu agama dan pengalaman kepada peserta. Menurutnya, secara peribadi beliau banyak melihat penagih dadah termasuk mereka yang dirawat di Pusat Al-Islah, sama ada mereka tidak mengamalkan ibadah atau memang tidak mempunyai ilmu agama yang mencukupi sebagai pertahanan diri daripada pengaruh dadah.

Kelemahan beragama boleh melemahkan ketahanan diri dan pihak biro mendapati bahawa kemantapan ilmu agama dan kekuatan iman dapat membantu individu menangkis pengaruh yang buruk termasuk pengaruh dadah yang menjadi satu fenomena sosial masa kini.


Beliau turut mengingatkan belia supaya sentiasa menjauhi pengaruh dadah dalam apa jua bentuk kerana menurutnya ketagihan dadah adalah sukar untuk dilepaskan tanpa rawatan dan pemuliahan dan kesan-kesan buruk ketagihan dadah boleh memusnahkan diri, fizikal dan mental, kehancuran rumahtangga, isteri, suami dan anak-anak menjadi terabai serta anggota keluarga menjauhkan diri, masyarakat memandang serong dan banyak lagi perkara-perkara negatif yang menimpa diri.


Berbagai aktiviti dan program disusun sepanjang perkhemahan dalam bentuk kerohanian, ilmiah dan juga fizikal untuk memberikan pendedahan kepada belia tentang bahaya agar ia dapat disebarkan kepada rakan-rakan sebaya.


Sepanjang perkhemahan itu, belia melakukan berbagai aktiviti antaranya sembahyang berjemaah, acara walkaton, membaca Ratib Al-Attas, mendengarkan ceramah dan kegiatan rakan harmoni daripada BKN, halaqah fikir, qiamullail dan membaca al-Quran di waktu subuh dan lawatan ke Pusat OGDC dan sebagainya.



Kempen Benci Dadah tumpu kawasan hitam


GRIK: Kempen Benci Dadah akan ditumpukan ke kawasan dikenal pasti mempunyai bilangan penagihan tinggi dan dilabelkan sebagai kawasan hitam, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kawasan berkenaan untuk diberikan lebih tumpuan oleh pertubuhan belia dan kementerian untuk menjalankan pelbagai kegiatan antidadah.

Beliau berkata, satu kajian mengenai perkara itu sudah dijalankan dan pihaknya mengenal pasti kawasan dilabelkan sebagai hitam, kelabu dan putih di seluruh negara.

Katanya, program antidadah bertujuan menyedarkan belia mengenai bahaya dadah perlu dibuat terus kepada kumpulan sasaran dan bukannya di kalangan mereka yang bersih daripada masalah itu.

“Kementerian akan bekerjasama dengan MBM (Majlis Belia Malaysia) untuk tumpuan bagi menjalankan pelbagai kegiatan antidadah, sosial dan sukan di kawasan seperti itu. 
Active Image
“Kita tidak boleh menjalankan kempen antidadah...Apa yang perlu kita buat adalah terus kepada kumpulan sasaran. Jika kita beri kesedaran kepada budak-budak baik ia tidak akan berjaya.

“Justeru, kita akan menasihatkan pegawai kita untuk bekerjasama dengan MBM supaya kawasan yang kita akan masuk itu adalah kawasan yang benar-benar memberikan kesan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Bakti Belia Benci Dadah Peringkat Negeri Perak anjuran MBM di kawasan perkelahan Ulu Lawin di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis yang disertai lebih 1,000 belia dari sini, Lenggong dan Pengkalan Hulu itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali; Presiden MBM, Shamsul Anuar Nasarah dan Pengerusi MBM negeri, Hang Tuah Din.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, kawasan berkenaan sudah disenaraikan selepas penyelidikan dua tahun dibuat Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia.